Tuesday 23 February 2016

Pengalaman Melahirkan - Part 3

Assalamualaikum

Sambungan dari cerita semalam. Wah2.. bersenang lenang ye ko nor. Boleh update blog hari2.

Ini proses nak meneran pulak. Aku tengok jam dalam pukul 10.15am macam tu.Sakit dah kian memuncak, suami pun dah masuk. Masuk terus pegang tangan dan kepala aku. Nurse dah suruh teran tapi aku blur. Teran nak berak ke? Ah.. sudah...

"Puan, teran puan..."

Ok.. aku teran nak berak... Setiap kali sakit aku teran. Sakit.. teran.. sakit.. teran.. Tapi ada time tak sakit aku tarik nafas. Tapi nurse terus cakap jangan berhenti puan terus teran. ARGGGHHHH.. tenaga totally lost. 

Dan yang paling best. Proses meneran seperti orang tengok bola. Doktor pelatih bukan main ramai. Ada dalam 3 4 orang kalau tak silap aku. Dan semuanya perempuan. Aku sempat dengar ada doktor pelatih lelaki nak masuk. Tapi nurse bagitau kena mintak kebenaran suami aku dulu baru boleh masuk dan aku tak pasti doktor pelatih tu ada ke tak. 

Aku rasa memang agak lama proses meneran tersebut. Sampai orang yang bagi semangat iaitu doktor2 pelatih itu pun dan penat. 

"Puan!! PUSH!! PUSH! 

"Dah nampak kepala baby puan, Push!!

"Puan! Jangan berhenti.. Push puan!!


Yes. Aku rasa macam tengok bola Selangor lawan kedah. Nasib baik selangor menang. Nurse yang sambut tu pun dah macam letih nak suruh aku meneran. Last sekali dia capai tangan aku suruh pegang kepala baby yang memang dah separuh dah keluar. 

Aku jadi semangat semula. Kumpul tenaga sepenuhnya, pegang tangan suami kuat dan suruh dia angkat kepala aku supaya aku tak angkat punggung dan sambil melafazkan La illaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin dan PUSHHHHHHHHHHH!!!!!!

Dan baby pun keluar dengan lajunya bak kata suami aku sampai hujung katil baby meluncur keluar nasib baik sempat nurse sambut. Kedengaran suaranya yang sayup kedengaran menangis. Allahuakhbar.. 

Keluar ajer baby suami aku di suruh keluar sebab proses menjahit pulak. Baby di letak atas dada aku untuk proses perkenalan antara ibu dan anak. Dan aku nampak matanya.. Dia memandang terus ke arah mataku dan kami terus jatuh cinta. Ya Allah, sungguh besar kurniaan Mu. Comel sungguh anak ini dan dia adalah anakku. Sambil itu, nurse pulak tengah menjahit kat bawah. Sakit jahitan tak terasa sangat mungkin sebab aku tengah leka dengan baby. Pandai nurse nie buat trick..

Dan yang paling menakjubkan baby dah pandai mencari cari untuk menghisap. Aku suakan n**** kepadanya dan dia pandai menghisap. SubhanaAllah... besar sungguh keajaiban yang Kau tunjukkan. Menitis air mata kesyukuran.

Nurse bagitau yang jahitan memang agak panjang jugak sebab mungkin aku anak first dan baby keluar agak besar.

Selesai semuanya, aku di beri milo panas untuk tenaga. Sebab nurse tahu aku lapar dan hilang banyak tenaga. Tak tahu la, mungkin memang prosedur hospital itu macam tu atau special untuk aku sebab nurse tahu aku lapar. Baby di ambil untuk di bersihkan dan aku perasan memang takda darah yang ada dekat badan baby. Itu mungkin sebab air ketumban aku banyak. 

Nurse sempat main teka teki dengan aku. Dia tanya tentang berat badan baby. Aku cakap 3kg mungkin nurse sebab aku tengok memang bambam.. Lepas tu nurse jawab.. bukan puan 3.63kg. Baby sihat sangat patut susah ibunya nak meneran. Jumpa pulak ibu yang kecil molek nie ar... 

Dah siap semuanya aku dan baby pun keluar dari labour room. Sebelum keluar nurse pastikan kat aku tag tangan aku dengan baby sama. Takut tertukar baby. 

Dan ini la hasilnya.

Nur Raihanis Batrisya binti Raihezam


Lahir pada : 13.12.2015 (bersamaan 1 Rabiuawal 1437H)
Hari : Ahad
Pukul : 11.15am
Berat : 3.63kg

Campuran : Selangor (Jawa+Melayu) dan Sarawak (Melayu+Iban)
Lahir di : Hospital Banting, Selangor

Boleh panggil Tisya.

~ nak jugak campuran tu.. haha.. Ingat anak Che Ta.

Monday 22 February 2016

Pengalaman Melahirkan - Part 2

Assalamualaikum

Kita sambung balik dari entry yang lepas...

13.12.15.. kira2 pukul 5.30 or 5.45am mcm tu aku dan suami sampai Hospital Banting. Aku terus refer wad bersalin. Masuk2 terus jumpa nurse yang pangkat sister tu. Sebab dia pakai baju warna biru sister lah kan.. First soalan dia tanya sakit sejak bila. Aku cakap malam tadi tapi jawapan aku macam tak menyakinkan. Dan dia tanya lagi, dah daftar bersalin kat sini ke? Aku jawab saja dah.. sebab aku ingat lagi hari tu nurse klinik yang aku selalu check up tu ada isi satu borang cakap borang tu untuk bersalin. Sister tu cari2 fail ada nama aku dekat rak kat situ tapi takda. Sampai aku tolong dia carikan sebab dia tak pasti ejaan nama aku. Ok.. dalam sakit2 boleh pulak tolong dia jadi nurse sekejap. Dan yang pasti takda file atas nama aku. Jadi, memang nurse kat klinik aku tak hantar lagi borang tu. Dan terpaksa diaorang buat file aku. Kira aku baru mendaftar la kat situ. Korang faham tak apa yang aku cuba sampaikan? Kalau tak faham ignore kan.. baca perenggan seterusnnya saja. hihihi..

Aku masuk bilik untuk check bukaan berapa dah.. sister tu check dia cakap betul ke aku baru sakit malam tadi. Aku jawab Ya. Dia cakap bukaan aku dah 4cm.. boleh terus masuk ke labour room. Aku dah mula cuak. Kalau dah masuk labour room nie boleh dah ye beranak. Rupanya tak lagi.. tunggu bukaan sampai 10cm..kurang pengetahuan betul aku nie.

Masuk labour room. Nurse suruh tukar semua baju. Diaorang terus pasang semua benda dekat tangan, dekat perut. Yang dekat perut tu aku tak pasti nama apa. Tapi alat tu untuk check pergerakan baby dan jantung baby. Dan nurse selok lagi kat bawah nak check bukaan dia cakap dah 5cm. 

Dia panggil doktor untuk pecahkan air ketumban aku. Doktor masukkan something yang panjang untuk pecahkan ketumban dan mencurah lah air yang panas2 aku rasa.  Lepas ajer doktor pecahkan air ketumban tu, aku terasa sakit yang teramat sangat. Hanya Allah dan orang yang pernah beranak ajer tahu sakitnya macam mana. Aku tak boleh nak ungkap dengan kata-kata sakitnya itu.

Dalam sakit-sakit tu aku terasa lapar. Baru aku teringat yang aku tak makan apa2 pun masa pergi hospital tadi. Kenapa ya aku boleh lupa? Gelabah punya pasal. Dah la malam tadi aku just sempat makan maggi ajer sementara tunggu bola.

Kelaparan aku di tahap maksima. Dan akhirnya aku termuntah. Nurse masuk tengok aku muntah. Puan, kenapa nak muntah tak panggil saya? .. Tak sempat.. itu jer mampu aku balas. Nurse pun bekalkan aku dengan plastik kuning tu kalau2 aku termuntah lagi. 

Dalam pukul 7am macam tu nurse pun bertukar shift. Jika sebelum nie nurse nya agak kasar sikit. Sekarang nurse nya jenis lemah lembut dan agak ramah. Setiap setengah jam di check aku tengok keadaan aku. Bagi tips kat aku, kalau rasa sakit, mengiring belah kiri. Aku pulak makin mengiring makin la rasa nak terkeluar. Terasa nak berak. Asyik jer bagitau kat nurse cakap nak berak.. nak berak. Nurse cakap tu bukan nak berak puan.. itu nak beranak.. hahaha.. 

Dalam pukul 9am.. aku tak tahan sangat. Aku suruh nurse check bukaan dah berapa cm sebab last check dalam pukul 7am kalau tak silap aku dan bukaan masa tu 5cm. Sekarang nurse habaq bukaan aku dah 8cm.. nurse beria ucap tahniah kat aku cakap aku nie jenis cepat.. yelah, dalam beberapa jam bukaan dah banyak. Jadi, aku tanya la kalau orang lain macam mana pulak? Dia bagitau ada sesetengah orang tu nak dapatkan 10cm sampai berhari-hari. Ya Allah, sakit macam tu berhari-hari. Tak tahan kot.. Kira aku nie jenis cepat la.. Dalam sakit macam tu. Aku bersyukur dan masih lagi kumat kamit baca segala surah dan doa yang aku ingat. Sampai ada satu ketika tersasul baca doa makan. Lapar punya pasal. Aduyai..

Kira pukul 10am.. aku memang dah sakit sesangat.. Nurse check lagi bukaan. Dan bukaan dah 9cm.. Nurse pun dah ready segala kelengkapan untuk berperang..eh silap.. untuk beranak.. Dan nurse siap warning kat aku jangan teran dulu.. kalau dah 10cm baru boleh teran dan dia siap2 panggil suami aku. Syukur sangat2 masa tu suami ada masa aku meneran. 

Nantikan sambungannya..






Pengalaman Melahirkan - Part 1

Assalamualaikum

Hai, kengkawan. Seperti semua sedia maklum aku dah selamat melahirkan baby girl pada 13.12.15..Alhamdulillah.. dah dua bulan dah umur baby. Dan baby diberi nama Nur Raihanis Batrisya binti Raihezam. Yang bermaksud cahaya keberanian dan kecerdikan. Kita orang satu family panggil Tisya. Nama retis sangat kan... terpengaruh betul ibu dia dengan drama2 melayu nie.

Sepatutnya due date adalah 11.12.15 tapi disebabkan baby suka sangat duduk dalam perut seolah-olah perut ibunya selesa sangat. Jadi terlebih due la.. aku memang dah awal ambik cuti beranak. Mula 1hb 12 aku dah start cuti. Tak larat betul nak naik tangga ofis dengan perut besar mcm tu. Orang lain tengok aku berjalan pun takut. Jadi, aku duduklah di rumah sambil menunggu hari kejadian yang tak kunjung tiba.

Seminggu sebelum tarikh due tu. Check up kt klinik seperti biasa. Doktor scan seperti biasa dan doktor mendapati air ketumban aku terlalu banyak. Jadi doktor sarankan aku untuk refer doktor pakar dekat hospital banting. Esok harinya pergi jumpa doktor pakar dan doktor mengesahkan yang memang betul air ketumban aku banyak. Timbul pelbagai persoalan di kepala hotak aku yang geliga ini. Apa masalahnya kalau air ketumban banyak? Kan bagus kalau air ketumban banyak senang nak bersalin seperti mak mertua aku bagitau. Dan baby pun boleh swimming dalam perut. Hihihi.. gurau...

Mengikut penerangan doktor pakar tu. Air ketumban banyak pun masalah , air ketumban sikit pun masalah. Kena kuantiti atau isipadu nya sedang2 dan mengikut sukatannya. Berapa sukatan itu doktor ajer tahu. Antara faktor air ketumban banyak ini adalah satu; kencing manis. Seperti orang sedia maklum kencing manis memang bahaya bagi ibu dan baby boleh menyebabkan baby lahir besar dan boleh menyukarkan proses kelahiran. Faktor kedua; takut ada kecacatan pada baby. Faktor ketiga; dah memang air ketumban tu banyak dan keturunan air ketumban banyak nak buat macam mana. Masa doktor scan baby, fizikal baby ok takda masalah.

Jadi solution nya, aku dikehendaki minum air gula untuk memastikan yang aku takda kencing manis. 
Minum air gula adalah perkara yang aku sedaya upaya elakkan sepanjang mengandung. Dan sepanjang mengandung aku tak pernah minum air gula sebab aku takda keturunan kencing manis dan berat badan aku naik stabil dan tekanan darah aku ok.

Tapi tinggal 2 hari lagi nak due. Aku terpaksa jugak minum. Nak buat macam mana demi anak dalam perut. Dan malam nya doktor mintak aku puasa mula dari pukul 12am sampai esok pagi masa nak minum air gula tu. Masa minum tu alhamdulillah takda incident muntah keluarkan balik dan aku cool ajer minum. Mungkin sebab lapar.

Keputusan ujian tu aku takda kencing manis. Kan dah cakap. Jadi boleh di simpulkan di sini yang air ketumban aku memang jenis banyak. Takda apa nak dirisaukan.

11.12.15.. masa hari kejadian sepatutnya aku beranak tetapi masih tiada tanda tanda baby mahu keluar. 

12.12.15... petang2 aku bosan ajak suami jenjalan pantai morib. Senaman kaki katanya bagi cepat beranak. Dan malamnya pulak ada match bola selangor lawan kedah utk piala malaysia. Dan setengah jam sebelum langsung bola kat tv boleh pulak elektrik takda satu kampung. Suami aku memang hot la..tunggu bukan main lama siap makan maggi dalam gelap baru ada elektrik. Masa orang duk tengok bola tu aku dah rasa sakit sikit2.. tapi aku boleh rileks lagi.

Jenjalan pantai morib
13.12.15 - 3am... aku pejam celik pejam celik sebab terasa dah sakit. Aku rasa sakit macam senggugut tapi sakit lagi. Aku pergi tandas check ada keluar darah tak. Tapi takda. Aku kejut suami ckp kalau sampai pukul 5am sakit lagi. Kita terus pergi hospital dan suami pun angguk. Aku pun tak pasti dia angguk faham ke angguk sebab mengantok.

13.12.15 - 5am.. sakit semakin kerap. Aku dah tak tahan. Terus kejut suami ajak pergi hospital. Nasib baik aku dah ready awal semua kelengkapan ke hospital jadi tak kelam kabut sangat. 

Ok. Nantikan sambungannya nanti ye.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...